Nuffnang Head

Showing posts with label Sarawak. Show all posts
Showing posts with label Sarawak. Show all posts

Friday, March 4, 2011

Rekod tanpa kalah S’wak lebur



Rekod tanpa kalah S’wak lebur


by Wan Ali Amit. Posted on March 1, 2011, Tuesday
Mohd Zaki kecewa pemain gagal manfaat peluang ketika tewas di Pasir Gudang
KUCHING: Rekod tanpa kalah skuad Sarawak akhirnya lebur di Stadium Pasir Gudang, Johor petang semalam (Isnin) apabila mereka kecundang 0-2 dalam saingan Liga Perdana 2011 menentang pasukan MP Muar Johor.
Kedua-dua gol pasukan tuan rumah dijaringkan pada babak kedua iaitu minit ke-61 dan 67 perlawanan.
“Pasukan kita beraksi baik sepanjang babak pertama. Tetapi pemain-pemain kita gagal menembusi gawang lawan meskipun mereka memperoleh peluang keemasan,” kata ketua jurulatih merangkap pengurus pasukan Sarawak, Mohd Zaki Shaikh Ahmad kepada Utusan Borneo ketika dihubungi di Johor petang semalam.
Mohd Zaki mengakui bahawa beliau kecewa dengan kekalahan itu kerana anak-anak buahnya banyak melepaskan peluang untuk menghasilkan jaringan.
Katanya, peluang terbaik skuad negeri menghasilkan jaringan seawal minit pertama apabila tiga pemain kita hanya berdepan dengan seorang sahaja pemain lawan iaitu penjaga golnya.
“Saya kecewa dengan kegagalan tiga pemain kita iaitu Zamri Morshidi, Bobby Gonzales dan Azizan Saperi yang hanya berdepan dengan penjaga gol sahaja di depan gawang lawan.
“Kececewaan menghantui kita setelah mereka gagal melakukan penyudahan dengan berkesan meskipun peluang sudahpun terbuka,” kata Mohd Zaki dengan nada amat kecewa.
Bagaimanapun, Mohd Zaki akui anak-anak buahnya banyak melakukan kesilapan mudah sehingga membolehkan pemain-pemain lawan senang melakukan serangan.
Beliau percaya jika pemain-pemain mampu mengekalkan rentak terbaik mereka seperti mana dalam empat perlawanan lalu sudah pasti mereka sekurang-kurangnya mampu membawa balik satu mata dari Johor.
“Semuanya tidak menjadi… Para pemain kita nampak banyak melakukan kesilapan mudah dan mereka juga sering kehilangan kawalan bola,” katanya.
Justeru, Mohd Zaki berharap para pemain tidak akan mengulangi kesilapan mudah dalam perlawanan-perlawanan seterusnya.
Skuad negeri akan meneruskan perjuangan mereka dalam saingan Liga Perdana apabila menanti kunjungan pasukan pelawat, KL Sime Darby FC di halaman sendiri, Stadium Negeri Petra Jaya pada 11 Mac ini.
Pasukan Sarawak hanya beraksi satu perlawanan sahaja sepanjang Mac ini sebelum mereka meneruskan cabaran menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Paroi, Negeri Sembilan pada 1 April depan.

Saturday, February 26, 2011

Sarawak berpesta!


Sarawak berpesta!

Posted on February 26, 2011, Saturday
KUCHING: Sarawak ‘mengamuk’ ketika membelasah KL Pos Malaysia 5-1 pada aksi Liga Perdana 2011 di Stadium Selayang, Kuala Lumpur petang semalam (Jumaat).
Gol-gol Sarawak dijaringkan oleh Mazwandi Zakeria (satu gol), Wong Sai Kong (satu gol), Bobby Gonzales (dua gol) dan Mohd Khairul Azahar (satu gol).
Sementara gol tunggal pasukan tuan rumah dijaringkan pada minit ke-29 babak pertama setelah mereka ketinggalan 1-0.
“Saya amat berpuas hati dengan persembahan hebat pasukan kita, malah kita berjaya mencatat kemenangan dengan jaringan besar,” kata ketua jurulatih merangkap pengurus pasukan Sarawak, Mohd Zaki Shaikh Ahmad ketika dihubungi Utusan Borneo di Kuala Lumpur, semalam.
Mohd Zaki berkata semua pemain yang diturunkan dalam kesebelasan utama telah membuktikan kemampuan masing-masing dengan mempamerkan prestasi terbaik.
Beliau berkata Sarawak mendahului 1-0 pada minit ke-23 sebelum pasukan tuan rumah menyamakan kedudukan enam minit kemudian.
“Walau bagaimanapun, usaha mereka untuk mengajak pasukan kita berkongsi mata tidak kesampaian apabila pemain-pemain kita bertindak lebih cemerlang terutama dalam babak kedua,” katanya.
Sarawak memperolehi gol pertama menerusi jaringan pemain pertahanan kanan, Mazwandi Zakeria pada minit ke-23 babak pertama.
Kemudiannya giliran bekas pemain kebangsaan, Wong Sai Kong menggandakan kedudukan pada minit ke-33 hasil sepakan percuma.
Mendahului 2-1, Sarawak terus mengganas dan lima minit sebelum wisel penamat babak pertama dibunyikan pengadil, penyerang import dari Sabah iaitu Bobby Gonzales berjaya meledakkan dua jaringan dalam tempoh masa empat minit.
Gonzales yang boleh dianggap sebagai pencetak gol paling digeruni lawan setakat ini telah menjaringkan dua gol pada minit ke-41 dan 44.
Setelah mengharungi empat perlawanan setakat semalam, Bobby kini menjaringkan enam gol buat Sarawak dalam saingan Liga Perdana.
Sarawak yang tersentak dengan kekalahan 0-2 di pangkuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam aksi Piala FA di medan yang sama Sabtu lalu, terus mengganasmenerusi gol kelima menerusi pemain import dari Johor, Mohd Khairul Azahar.
Pasukan Sarawak tidak balik ke Bumi Kenyalang, sebaliknya terus bertandang ke Johor esok (Ahad) untuk perlawanan menentang MP Muar, Isnin ini.

Tuesday, February 15, 2011

Sarawak benam SDM Navy 3-0!


Sarawak benam SDM Navy 3-0!

by Wan Ali Amit. Posted on February 15, 2011, Tuesday
Mohd Zaki tuntut peningkatan prestasi di sebalik kemenangan selesa pasukannya

ALA ROONEY: Penyerang Sarawak, Bobby Gonzales (kanan) menjaringkan gol cantik ketika menentang SDM Navy Pulau Pinang pada perlawanan Liga Perdana yang berlangsung di Stadium Negeri, Petra Jaya semalam. Sarawak menang selesa 3-0. — Gambar Johnathan Bullet
KUCHING: Meskipun beraksi pada tahap prestasi yang kurang memuaskan, skuad Sarawak masih boleh berbangga dengan kemenangan mutlak 3-0 ke atas kelab tentera, SDM Navy Pulau Pinang dalam aksi Liga Perdana di Stadium Negeri, Petra Jaya petang semalam (Isnin).
Disaksikan hampir 5,000 penyokong tuan rumah, Sarawak yang turun berjersi serba merah menceriakan para penonton dengan gol pertama seawal minit kelapan babak pertama menerusi ledakan penyerang yang juga kapten Sarawak, Zamri Morshidi.
Dengan sokongan padu para penyokong dan peminat setianya, pasukan tuan rumah terus menguasai perlawanan dan hasilnya, gol kedua diperolehi pada minit ke-43 menerusi sentuhan berbisa penyerang import dari Sabah, Bobby Gonzales.
Babak kedua bagaimanapun menyaksikan Sarawak terlepas banyak peluang untuk menambah jaringan, namun mujurlah sentuhan berbisa Bobby Gonzales yang pernah muncul sebagai penjaring terbanyak skuad KL Plus musim lalu terus menjadi dengan gol ketiga pada minit-minit akhir perlawanan.
“Walaupun menang bergaya, saya akui mutu persembahan pemain-pemain agak kurang menyengat pada perlawanan ini,” akui ketua jurulatih merangkap pengurus skuad Sarawak, Mohd Zaki Shaikh Ahmad.
Menurut Mohd Zaki, para pemainnya nampak kurang bersemangat kerana mungkin terikut-ikut dengan rentak permainan pasukan lawan yang kelihatan lebih berminat untuk bertahan.
Walau bagaimanapun, katanya, masih banyak perlawanan yang bakal mereka harungi musim ini dan beliau yakin anak-anak buahnya mampu meningkatkan prestasi mereka.
“Saya tetap berpuas hati dengan kemenangan kami hari ini dan saya percaya pemain-pemain akan terus meningkatkan permainan mereka pada perlawanan-perlawanan akan datang,” katanya.
Mohd Zaki menarik perhatian bahawa skuad akan menghadapi tiga perlawanan di tempat lawan selepas ini termasuk satu aksi Piala FA.
Sarawak akan berkunjung ke Stadium Selayang, Kuala Lumpur pada 19 Februari ini (Sabtu) untuk menjadi ‘tetamu’ skuad Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam aksi pertama pusingan awal Piala FA 2011.
Selepas itu, Sarawak sekali lagi beraksi di Stadium Selayang untuk bertemu dengan pasukan KL Pos FC dalam saingan Liga Perdana pada 25 Februari.
Sarawak akan meneruskan cabaran Liga Perdana musim ini dengan bertandang pula ke Johor untuk menentang MP Muar Johor di Stadium Jcop, Pasir Gudang pada 28 Februari (Isnin).
“Saya berharap pemain-pemain kita dapat mengekalkan pencapaian mereka dalam saingan Liga Perdana, justeru mampu memenangi perlawanan pertama Piala FA nanti,” kata Mohd Zaki penuh yakin.
Sementara itu, ketua jurulatih SDM Navy Pulau Pinang, Adam Abdullah pasrah dengan kekalahan skuadnya buat kali ketiga berturut-turut.
“Kita akui kehebatan Sarawak lebih-lebih lagi beraksi di gelanggang sendiri. Namun, saya berbangga dengan semangat tinggi yang dibuktikan oleh pemain-pemain kami,” katanya.
Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datu Sudarsono Osman juga menaruh keyakinan tinggi akan kemampuan skuad Sarawak untuk mengorak langkah lebih jauh musim ini.
“Pasukan kita telah melakukan yang terbaik setakat ini. Kita telah berjaya mencatat dua kemenangan dan seri sekali. Justeru, saya cukup pasukan kita mampu melangkah lebih jauh musim ini,” katanya lagi.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Nuffnang Body