Nuffnang Head

Saturday, February 26, 2011

Sarawak berpesta!


Sarawak berpesta!

Posted on February 26, 2011, Saturday
KUCHING: Sarawak ‘mengamuk’ ketika membelasah KL Pos Malaysia 5-1 pada aksi Liga Perdana 2011 di Stadium Selayang, Kuala Lumpur petang semalam (Jumaat).
Gol-gol Sarawak dijaringkan oleh Mazwandi Zakeria (satu gol), Wong Sai Kong (satu gol), Bobby Gonzales (dua gol) dan Mohd Khairul Azahar (satu gol).
Sementara gol tunggal pasukan tuan rumah dijaringkan pada minit ke-29 babak pertama setelah mereka ketinggalan 1-0.
“Saya amat berpuas hati dengan persembahan hebat pasukan kita, malah kita berjaya mencatat kemenangan dengan jaringan besar,” kata ketua jurulatih merangkap pengurus pasukan Sarawak, Mohd Zaki Shaikh Ahmad ketika dihubungi Utusan Borneo di Kuala Lumpur, semalam.
Mohd Zaki berkata semua pemain yang diturunkan dalam kesebelasan utama telah membuktikan kemampuan masing-masing dengan mempamerkan prestasi terbaik.
Beliau berkata Sarawak mendahului 1-0 pada minit ke-23 sebelum pasukan tuan rumah menyamakan kedudukan enam minit kemudian.
“Walau bagaimanapun, usaha mereka untuk mengajak pasukan kita berkongsi mata tidak kesampaian apabila pemain-pemain kita bertindak lebih cemerlang terutama dalam babak kedua,” katanya.
Sarawak memperolehi gol pertama menerusi jaringan pemain pertahanan kanan, Mazwandi Zakeria pada minit ke-23 babak pertama.
Kemudiannya giliran bekas pemain kebangsaan, Wong Sai Kong menggandakan kedudukan pada minit ke-33 hasil sepakan percuma.
Mendahului 2-1, Sarawak terus mengganas dan lima minit sebelum wisel penamat babak pertama dibunyikan pengadil, penyerang import dari Sabah iaitu Bobby Gonzales berjaya meledakkan dua jaringan dalam tempoh masa empat minit.
Gonzales yang boleh dianggap sebagai pencetak gol paling digeruni lawan setakat ini telah menjaringkan dua gol pada minit ke-41 dan 44.
Setelah mengharungi empat perlawanan setakat semalam, Bobby kini menjaringkan enam gol buat Sarawak dalam saingan Liga Perdana.
Sarawak yang tersentak dengan kekalahan 0-2 di pangkuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam aksi Piala FA di medan yang sama Sabtu lalu, terus mengganasmenerusi gol kelima menerusi pemain import dari Johor, Mohd Khairul Azahar.
Pasukan Sarawak tidak balik ke Bumi Kenyalang, sebaliknya terus bertandang ke Johor esok (Ahad) untuk perlawanan menentang MP Muar, Isnin ini.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget

Nuffnang Body