Nuffnang Head

Saturday, February 26, 2011

Sarawak berpesta!


Sarawak berpesta!

Posted on February 26, 2011, Saturday
KUCHING: Sarawak ‘mengamuk’ ketika membelasah KL Pos Malaysia 5-1 pada aksi Liga Perdana 2011 di Stadium Selayang, Kuala Lumpur petang semalam (Jumaat).
Gol-gol Sarawak dijaringkan oleh Mazwandi Zakeria (satu gol), Wong Sai Kong (satu gol), Bobby Gonzales (dua gol) dan Mohd Khairul Azahar (satu gol).
Sementara gol tunggal pasukan tuan rumah dijaringkan pada minit ke-29 babak pertama setelah mereka ketinggalan 1-0.
“Saya amat berpuas hati dengan persembahan hebat pasukan kita, malah kita berjaya mencatat kemenangan dengan jaringan besar,” kata ketua jurulatih merangkap pengurus pasukan Sarawak, Mohd Zaki Shaikh Ahmad ketika dihubungi Utusan Borneo di Kuala Lumpur, semalam.
Mohd Zaki berkata semua pemain yang diturunkan dalam kesebelasan utama telah membuktikan kemampuan masing-masing dengan mempamerkan prestasi terbaik.
Beliau berkata Sarawak mendahului 1-0 pada minit ke-23 sebelum pasukan tuan rumah menyamakan kedudukan enam minit kemudian.
“Walau bagaimanapun, usaha mereka untuk mengajak pasukan kita berkongsi mata tidak kesampaian apabila pemain-pemain kita bertindak lebih cemerlang terutama dalam babak kedua,” katanya.
Sarawak memperolehi gol pertama menerusi jaringan pemain pertahanan kanan, Mazwandi Zakeria pada minit ke-23 babak pertama.
Kemudiannya giliran bekas pemain kebangsaan, Wong Sai Kong menggandakan kedudukan pada minit ke-33 hasil sepakan percuma.
Mendahului 2-1, Sarawak terus mengganas dan lima minit sebelum wisel penamat babak pertama dibunyikan pengadil, penyerang import dari Sabah iaitu Bobby Gonzales berjaya meledakkan dua jaringan dalam tempoh masa empat minit.
Gonzales yang boleh dianggap sebagai pencetak gol paling digeruni lawan setakat ini telah menjaringkan dua gol pada minit ke-41 dan 44.
Setelah mengharungi empat perlawanan setakat semalam, Bobby kini menjaringkan enam gol buat Sarawak dalam saingan Liga Perdana.
Sarawak yang tersentak dengan kekalahan 0-2 di pangkuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam aksi Piala FA di medan yang sama Sabtu lalu, terus mengganasmenerusi gol kelima menerusi pemain import dari Johor, Mohd Khairul Azahar.
Pasukan Sarawak tidak balik ke Bumi Kenyalang, sebaliknya terus bertandang ke Johor esok (Ahad) untuk perlawanan menentang MP Muar, Isnin ini.

Monday, February 21, 2011

Pemangkin lonjak prestasi

Pemangkin lonjak prestasi

Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
TINGKATKAN AZAM...mereka yang memilih profesyen pendidikan perlu berazam menjadi guru yang baik tanpa mengharapkan imbuhan atas bakti dicurahkan.
TINGKATKAN AZAM...mereka yang memilih profesyen pendidikan perlu berazam menjadi guru yang baik tanpa mengharapkan imbuhan atas bakti dicurahkan.
PENGUMUMAN pemberian insentif kepada guru besar dan guru cemerlang yang mencapai sasaran kecemerlangan ditetapkan Kementerian Pelajaran dianggap hadiah kepada golongan itu.
Ia mampu menyuntik pembaharuan kepada dunia pendidikan negara.

Bagaimanapun, pemberian itu turut menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan guru yang turut menggembleng usaha namun tidak terpilih.

   
  • FotoCEMERLANG...kecemerlangan pelajar adalah atas sokongan guru, justeru konflik yang timbul ditakuti bakal mengganggu usaha menjana kecemerlangan sedia ada.
  • FotoDEMI MASA DEPAN...tanggungjawab guru sangat berat, justeru imbuhan boleh dijadikan pemangkin suntikan semangat untuk lebih berdedikasi.
  • FotoTUGAS HAKIKI...tugas hakiki guru adalah mendidik pelajar dan jangan jadikan imbuhan atau konflik sebagai agenda utama.
Ini menyebabkan timbul tanggapan bahawa pemilihan oleh Jemaah Nazir yang berdasarkan prestasi memimpin sekolah, tidak telus.

Walaupun insentif itu berniat baik, timbulnya konflik hingga mencetuskan kekecewaan di kalangan segelintir guru yang boleh menjejaskan kredibiliti serta integriti mereka. Jika tidak ditangani, sekolah dan pelajar mungkin menjadi mangsa.

Persoalannya, perlukah pemberian itu dijadikan landasan untuk mencetuskan konflik? Tidak bolehkah mereka yang tidak terpilih menerimanya secara positif dengan memperbaiki prestasi demi mencipta kecemerlangan serupa? Presiden Majlis Pengetua Sekolah Malaysia, Datuk Azam Md Atan, berkata biarpun intensif itu memberi penghargaan kepada guru cemerlang yang mencapai tahap piawaian, konflik tidak dapat dielakkan.


Beliau berkata, pemberian insentif itu baik tetapi mungkin segelintir guru yang tidak mendapat pengiktirafan mempertikaikan mengapa mereka tidak terpilih sedangkan turut memberi sumbangan kepada sekolah.

"Cetusan pertikaian ini bukan saja akan menimbulkan konflik malah perasaan tidak puas hati. Lebih ditakuti akan mewujudkan kelompok baru hingga mengganggu pentadbiran sekolah. "Ia perlu dilihat dengan teliti supaya semua pihak menerima dengan hati terbuka. Lebih penting, insentif ini tidak menjejas pelajar dan sekolah," katanya.

Menurutnya, bagi mengelak konflik, insentif berkenaan boleh diberikan kepada sekolah sebagai penghargaan kepada semua, bukan individu tertentu.

Menerusi pemberian itu, katanya, sekolah boleh memanfaatkannya untuk kebaikan bersama selain merancang pelbagai bentuk pembangunan.

"Pemberian insentif kepada sekolah untuk dinikmati semua adalah lebih baik dan mengelak salah faham. Ini juga sebagai simbolik setiap pencapaian itu adalah usaha bersama dan dinikmati bersama.

"Pembangunan jangka masa pendek atau panjang juga boleh dilaksanakan menerusi insentif itu kerana sekolah ada peruntukan sendiri.

"Manakala, konsep 'kekitaan', kerjasama dan bersatu hati boleh diperteguhkan kerana saling menyokong tanpa perasaan iri hati," katanya.

Beliau berkata, insentif itu boleh dijadikan lonjakan semangat kepada guru lain memperbaiki prestasi diri asalkan mereka melihatnya dari sudut positif.

"Jika dilihat dari sudut itu, insentif berkenaan boleh dijadikan pemangkin melonjakkan prestasi diri ke tahap lebih cemerlang.

"Ia juga bagi membalas jasa mereka yang benar-benar menyumbang bakti meningkatkan lagi kualiti pencapaian sekolah.

"Golongan guru yang berusaha keras meletak dan memartabatkan dunia pendidikan hingga tahap terbaik wajar dihargai tetapi lebih manis jika dinikmati bersama," katanya.

Konsultan pendidikan, Chiam Tah Wen, berkata pemberian insentif itu wajar dinilai dari sudut positif.

Menurutnya, pemilihan ketat pasti dilaksanakan bagi memastikan mereka yang layak menerima insentif itu.

"Jika gagal jangan mengeluh atau menuduh pihak tertentu tidak adil sebaliknya bermuhasabah mencari kekurangan diri.

"Tidak perlu mempertikaikan pemberian ini, siapa yang layak dan berusaha keras, dia patut dihargai. Mengapa perlu mencetuskan konflik, sepatutnya menerima dengan hati terbuka.

"Wang ringgit penting namun kepuasan dalam memberi pendidikan tidak boleh dibayar, ia mesti dilaksanakan dengan telus, tulus serta dari hati yang ikhlas.

"Janganlah dikorbankan maruah diri serta profesionalisme kerjaya guru semata-mata mengejar pangkat atau imbuhan. Itu bukan budaya ikhlas dalam memartabatkan ilmu," katanya.

Tuesday, February 15, 2011

Sarawak benam SDM Navy 3-0!


Sarawak benam SDM Navy 3-0!

by Wan Ali Amit. Posted on February 15, 2011, Tuesday
Mohd Zaki tuntut peningkatan prestasi di sebalik kemenangan selesa pasukannya

ALA ROONEY: Penyerang Sarawak, Bobby Gonzales (kanan) menjaringkan gol cantik ketika menentang SDM Navy Pulau Pinang pada perlawanan Liga Perdana yang berlangsung di Stadium Negeri, Petra Jaya semalam. Sarawak menang selesa 3-0. — Gambar Johnathan Bullet
KUCHING: Meskipun beraksi pada tahap prestasi yang kurang memuaskan, skuad Sarawak masih boleh berbangga dengan kemenangan mutlak 3-0 ke atas kelab tentera, SDM Navy Pulau Pinang dalam aksi Liga Perdana di Stadium Negeri, Petra Jaya petang semalam (Isnin).
Disaksikan hampir 5,000 penyokong tuan rumah, Sarawak yang turun berjersi serba merah menceriakan para penonton dengan gol pertama seawal minit kelapan babak pertama menerusi ledakan penyerang yang juga kapten Sarawak, Zamri Morshidi.
Dengan sokongan padu para penyokong dan peminat setianya, pasukan tuan rumah terus menguasai perlawanan dan hasilnya, gol kedua diperolehi pada minit ke-43 menerusi sentuhan berbisa penyerang import dari Sabah, Bobby Gonzales.
Babak kedua bagaimanapun menyaksikan Sarawak terlepas banyak peluang untuk menambah jaringan, namun mujurlah sentuhan berbisa Bobby Gonzales yang pernah muncul sebagai penjaring terbanyak skuad KL Plus musim lalu terus menjadi dengan gol ketiga pada minit-minit akhir perlawanan.
“Walaupun menang bergaya, saya akui mutu persembahan pemain-pemain agak kurang menyengat pada perlawanan ini,” akui ketua jurulatih merangkap pengurus skuad Sarawak, Mohd Zaki Shaikh Ahmad.
Menurut Mohd Zaki, para pemainnya nampak kurang bersemangat kerana mungkin terikut-ikut dengan rentak permainan pasukan lawan yang kelihatan lebih berminat untuk bertahan.
Walau bagaimanapun, katanya, masih banyak perlawanan yang bakal mereka harungi musim ini dan beliau yakin anak-anak buahnya mampu meningkatkan prestasi mereka.
“Saya tetap berpuas hati dengan kemenangan kami hari ini dan saya percaya pemain-pemain akan terus meningkatkan permainan mereka pada perlawanan-perlawanan akan datang,” katanya.
Mohd Zaki menarik perhatian bahawa skuad akan menghadapi tiga perlawanan di tempat lawan selepas ini termasuk satu aksi Piala FA.
Sarawak akan berkunjung ke Stadium Selayang, Kuala Lumpur pada 19 Februari ini (Sabtu) untuk menjadi ‘tetamu’ skuad Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam aksi pertama pusingan awal Piala FA 2011.
Selepas itu, Sarawak sekali lagi beraksi di Stadium Selayang untuk bertemu dengan pasukan KL Pos FC dalam saingan Liga Perdana pada 25 Februari.
Sarawak akan meneruskan cabaran Liga Perdana musim ini dengan bertandang pula ke Johor untuk menentang MP Muar Johor di Stadium Jcop, Pasir Gudang pada 28 Februari (Isnin).
“Saya berharap pemain-pemain kita dapat mengekalkan pencapaian mereka dalam saingan Liga Perdana, justeru mampu memenangi perlawanan pertama Piala FA nanti,” kata Mohd Zaki penuh yakin.
Sementara itu, ketua jurulatih SDM Navy Pulau Pinang, Adam Abdullah pasrah dengan kekalahan skuadnya buat kali ketiga berturut-turut.
“Kita akui kehebatan Sarawak lebih-lebih lagi beraksi di gelanggang sendiri. Namun, saya berbangga dengan semangat tinggi yang dibuktikan oleh pemain-pemain kami,” katanya.
Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datu Sudarsono Osman juga menaruh keyakinan tinggi akan kemampuan skuad Sarawak untuk mengorak langkah lebih jauh musim ini.
“Pasukan kita telah melakukan yang terbaik setakat ini. Kita telah berjaya mencatat dua kemenangan dan seri sekali. Justeru, saya cukup pasukan kita mampu melangkah lebih jauh musim ini,” katanya lagi.

Sunday, February 13, 2011

Hukuman rotan


Hukuman rotan sepatutnya dilaksanakan hanya sebagai pilihan terakhir

Posted on February 11, 2011, Friday
KUCHING: Hukuman merotan sepatutnya hanya dilaksanakan sebagai pilihan terakhir selepas amaran, kaunseling, memanggil ibu bapa ke sekolah dan tindakan menggantung pelajar daripada sekolah.
Menteri di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah berkata, ia (merotan) sepatutnya bermaksud untuk menghukum dan bukannya mengakibatkan kecederaan.
“Sebelum merotan, sepatutnya hukuman lain dijalankan. Pelajar sepatutnya diberi nasihat dan kaunseling… tetapi sekiranya kesalahan diulangi, pihak sekolah sepatutnya bertindak memanggil ibu bapa ke sekolah atau menggantung pelajar dari sekolah,” kata-nya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kes dua pelajar  sekolah berasrama  Nicholas Novy Gumbang dan Sylvester Ansam Stephen yang dirotan oleh ketua warden disebabkan gagal mengisi borang permohonan untuk menduduki asrama.
Sekiranya hukuman rotan mesti dilaksanankan,  guru mesti mengikut garis panduan untuk menjalankan hukuman tersebut, tegasnya.
Menurutnya, hukuman merotan adalah hukuman untuk kesalahan tertentu sahaja dan tidak dijalankan sewenang-wenangnya.
Aktivis sosial Dr Johnny Kieh ketika mengulas mengenai insiden tersebut berkata Gumbang Tegap (ayah Nicholas) telah membuat laporan polis di Sibu dan menghantar anaknya dan Sylvester ke Hospital Sibu untuk pemeriksaan.
Menurut Johnny, sepucuk surat telah dihantar kepada Perdana Menteri dan Kementerian Pelajaran untuk menggesa satu siasatan dijalankan.
Satu salinan surat ber-kenaan turut dihantar kepada pengarah Jabatan Pelajaran Negeri dengan disertakan laporan polis dan laporan kesihatan.

Thursday, February 10, 2011

924 guru besar terima insentif RM7,500

924 guru besar terima insentif RM7,500 


2011/02/10


PUTRAJAYA: Seramai 924 guru besar dari seluruh negara disenarai pendek untuk menerima insentif sebanyak RM7,500 seorang sebagai ganjaran kerana berjaya meningkatkan prestasi sekolah masing-masing di bawah Tawaran Baru (Bai'ah), demikian diumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, berkata seramai 12.1 peratus guru besar berjaya memimpin sekolah untuk melepasi sasaran prestasi ditetapkan iaitu pertambahan sebanyak 600 peratus daripada jangkaan asal sebanyak dua peratus.

Katanya, senarai pengetua dan guru-guru sekolah menengah yang layak menerima ganjaran di bawah Tawaran Baru akan diumumkan pada pertengahan tahun ini, dengan kemungkinan awal selepas keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan.

"Jemaah Nazir sedang membuat pengesahan mengenai prestasi 924 guru besar yang disenarai pendek. InsyaAllah saya akan umumkan senarai guru-guru besar yang layak dalam masa terdekat," katanya pada majlis Perutusan Khas 2011 Kementerian Pelajaran, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong dan Mohd Puad Zarkashi, Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr Rosli Mohamed dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud.

Muhyiddin mengumumkan Tawaran Baru itu tahun lalu sebagai satu inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan yang menawarkan ganjaran kewangan kepada guru besar dan guru-guru yang berjaya meningkatkan prestasi sekolah melepasi sasaran ditetapkan kementerian.

Di bawah tawaran itu, setiap guru besar layak menerima RM7,500 seorang, lima peratus guru paling cemerlang akan menerima RM1,800 seorang dan selebihnya RM900 seorang. 
Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, seramai 14 orang dikenal pasti untuk menganggotai Jawatankuasa Mengkaji Kurikulum Sejarah bagi mengesyorkan kepada kerajaan cadangan-cadangan menambah baik kandungan kurikulum serta pengajaran dan pembelajaran sejarah di sekolah rendah dan menengah.

Beliau berkata, mereka terdiri daripada pakar sejarah termasuk pensyarah universiti, wakil-wakil persatuan serta individu berkelayakan dalam pengajian sejarah dan mesyuarat pertama akan diadakan dalam masa terdekat.

"Kita nak pastikan pelajar-pelajar kita memahami bukan sahaja sejarah negara tetapi juga sejarah serantau, antarabangsa dan tamadun-tamadun lain. Maka sudah sampai masa kita meneliti semula (kurikulum sejarah).

"Ini mengambil masa kerana kita nanti akan adakan pertemuan dengan pihak berkepentingan dan masyarakat yang berminat selepas jawatankuasa ini mengemukakan draf pandangan mereka tentang kurikulum pembelajaran sejarah akan datang," katanya.

Muhyiddin berkata, tidak semestinya akan berlaku perubahan besar terhadap kurikulum sejarah sedia ada, cuma mengambil kira perkembangan baru yang mungkin perlu dimasukkan dalam kurikulum mata pelajran itu.

Mengenai penarikan semula 400,000 Buku Teks Bahasa Inggeris untuk Tahun 1 kerana mengandungi pelbagai kesalahan, Muhyiddin berkata, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan mengeluarkan buku teks baru bagi menggantikannya.

Beliau berkata, sementara buku teks baru itu diedarkan, pembelajaran mata pelajaran itu akan diteruskan dengan menggunakan mana-mana bahagian buku lama itu yang boleh digunakan.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, secara keseluruhannya beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berpuas hati dengan pencapaian kementerian sepanjang tahun lalu yang berjaya mencapai sasaran terutama dalam bidang Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT), Tawaran Baru, Program Literasi dan Numerasi (Linus) dan Prasekolah. 

Beliau berkata, daripada segi SBT, 30 buah sekolah lagi akan diiktiraf tahun ini, sementara saringan ketiga program Linus, iaitu program yang mengenal pasti tahap kemahiran dan numerasi murid dan melakukan usaha intervensi untuk membantu murid yang gagal menguasainya, mendapati seramai 85 peratus murid Tahun Satu menguasai literasi dan 91 peratus menguasai numerasi.

Tahun lalu menyaksikan 20 sekolah diumumkan sebagai SBT.

Daripada segi pendidikan prasekolah, seramai 701,114 murid prasekolah didaftarkan tahun lalu, iaitu pertambahan 54,700 murid berbanding 646,575 pada tahun sebelumnya, hasil daripada pembukaan kelas-kelas baru termasuk oleh pihak swasta iaitu sebanyak 625 buah.

"Tahun ini kita tetapkan sasaran lebih tinggi untuk keempat-empat perkara terbabit," katanya. - BERNAMA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Nuffnang Body