Nuffnang Head

Thursday, March 17, 2011

Prosedur nilai prestasi guru wajar diperbetul


Prosedur nilai prestasi guru wajar diperbetul
Dr Rajiee Hadi
Mac 16, 11
3:42pm
Kongsi 23
Penulis terima banyak aduan sama ada melalui percakapan tidak formal mahupun menerusi persatuan dan kesatuan guru sama ada semasa lalu mahupun hingga kini, tentang rasa tidak puas hati warga pendidikan terutama di kalangan guru-guru atau pegawai perkhidmatan pendidikan; baik yang bertugas di sekolah-sekolah, maktab-maktab perguruan (kini lnstitut Pendidikan Guru Malaysia/IPGM) dan pejabat-pejabat pendidikan daerah.

Penulis tidak mahu menyentuh selok-belok di kementerian-kementerian lain. Tetapi memadailah bahagian-bahagian di Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).ltupun bukan semua aspek; sekadar secebis atau sekelumit isu ketidakpuasan hati para penjawat ini.

Rata-ratanya menzahirkan rasa tidak puas hati; bukan sahaja di kalangan mereka yang sedang berkhidmat atau mengajar tetapi ramai juga yang berstatus mulia sebagai pesara kerajaan Malaysia; meliputi mereka yang bersara wajib dan bersara pilihan kerana kelayakan dan hak-hak mereka yang tidak boleh dipertikaikan sesiapapun.

Ketidakpuasan ini bagaikan rumah siap pahat berbunyi.Walaupun kini situasi dan peluang kenaikan pangkat amat cerah dalam KPM kerana 'sesiapa yang rasakan dirinya layak boleh memohon sendiri' adalah adil dan bijak tetapi kisah-kisah masa lalu wajar penulis catatkan agar menjadi peringatan untuk generasi pendidik hari ini dan masa akan datang.

Semua pihak menyedari bahawa melalui beberapa skim/sistem yang diperkenalkan oleh kerajaan masa lalu seperti Sistem Saraan baru (SSB) dan Sistem Saraan Malaysia (SSM) pada idea asalnya baik dan ada beberapa yang boleh diterima pakai. Tetapi yang menjadi permasalahan pokok ialah pada peringkat perlaksanaannya.

Tanyalah guru-guru di sekolah atau pensyarah-pensyarah di mana-mana IPGM rata-ratanya (tidak semua) tidak berpuas hati dengan markah prestasi yang diperolehi, pemilihan kuota yang menimbulkan ketidakadilan dan kronisme yang diamalkan.Walaupun ini bukan tuduhan tetapi penulis cuma terima reaksi yang menzahirkan sedemikian.

Walaupun begitu penulis cuma mahu bertanya; apakah pihak ketua pejabat atau jabatan seperti Pengarah atau Pengetua ataupun Guru Besar dan Timbalan atau Penolongnya benar-benar mematuhi prosedur yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ketika melaksanakan memberi markah dan penilaian ke atas maklumat/borang Sasaran Kerja Tahunan (SKT) yang menetukan prestasi penjawat di bawahnya? 

Maksudnya adakah Penilai Pertama, Penilai Kedua atau sesiapa yang telah dipertanggungjawabkan berjumpa,bersemuka dan berbincang dengan stiap staf ketika markah prestasi diberikan agar pihak/individu yang dinilai itu bersetuju?

Sebenarnya pertemuan bersemuka adalah salah satu prosedur telus dalam pemberian markah. Jika penjawat atau guru yang dinilai itu bersetuju atau tidak bersetuju adalah tidak salah mereka memberi sebab dan alasan-alasan konkrit yang mana akhirnya mereka boleh bersetuju atau menolaknya.Soalnya; adakah prosedur seperti ini ada dilakukan?

Penulis tidak menafikan, tidak semua Ketua Jabatan bersikap semborono atau tangkap muat sahaja. Namun sikap ambil mudah dan lepas tangan ini bukanlah mustahil ada terjadi.Yang mendukacitakan,implikasi dan impak ketua atau penolong ketua seperti ini yang bersikap 'tutup sebelah mata' adalah umpama parasit yang menjahanamkan sesuatu sistem dalam sesebuah organisasi.

Walhal tujuan kerajaan; khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia adalah baik dan murni. Namun ada juga segelintir warga KPM pada masa lalu yang iri hati, dengki dan cemburu sesama sendiri. Natijahnya siapakah yang rugi jika ada di kalangan warga KPM khususnya di sekolah dan IPGM yang hilang keyakinan dan hilang kepercayaan yang mana menjejaskan prestasi kerjaya mereka?

Justeru penulis menyeru jika fenomena atau senario ini masih berlaku atau terjadi, kepada warga KPM silalah buat aduan terus ke pihak atasan KPM atau melalui kesatuan-kesatuan dan persatuan perguruan. Ketahuilah hak-hak anda sebagai seorang penjawat awam!

Sarawak bakal memiliki universiti keenam

Sarawak bakal memiliki universiti keenam


E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
SIBU: Sarawak bakal memiliki universiti keenam dengan penaiktarafan Kolej Laila Taib, di sini, kepada universiti dalam tempoh dua tiga tahun akan datang, kata Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
Beliau berkata langkah menaik taraf itu bertujuan untuk menampung keperluan yang semakin bertambah terutama bagi lulusan kejuruteraan dan teknikal selaras dengan pembangunan Koridor Diperbaharui Sarawak (SCORE).

"Daripada 1.6 juta pekerjaan di dalam SCORE sehingga 2030, lebih daripada 52 peratus adalah pekerjaan kemahiran yang memerlukan pemegang diploma dan ijazah," katanya ketika berucap sebagai tetamu kehormat pada majlis sambutan ulang tahun ke-110 pembangunan penempatan masyarakat Cina Foochow di bandar Sibu, malam semalam.

20 pelajar dibuang sekolah

20 pelajar dibuang sekolah 


BUKIT KAYU HITAM - “Kami kesal kerana pertemuan dengan pengetua untuk membuat rayuan tidak mendatangkan hasil sebaliknya pengurusan sekolah tetap dengan keputusan untuk membuang anak kami dari sekolah,” keluhan waris pelajar sebuah sekolah berasrama ketika ditemui di luar pekarangan sekolah itu di sini, semalam. 

Berikutan keputusan muktamad itu, waris kepada 20 pelajar Tingkatan Lima yang didakwa terlibat dengan kes buli di sekolah berkenaan kecewa kerana rayuan mereka untuk terus mengekalkan anak-anak mereka di situ ditolak tanpa kompromi. 

Seorang waris, Jasmi Mohd Noor, 44, mendakwa tindakan anak mereka dibuang sekolah hanya diketahui selepas menerima surat daripada pihak sekolah yang bertarikh 10 Mac melalui kiriman pos laju dua hari lalu. 

Menurutnya, mereka amat terkejut apabila menerima surat berkenaan dan mengambil keputusan untuk berjumpa dengan pihak sekolah pada hari ini (semalam) untuk membuat rayuan seperti yang tertera pada surat yang diterima. 

“Bagaimanapun kami hampa kerana rayuan yang dibuat untuk terus mengekalkan anak kami di sini tidak dilayan malah pihak sekolah muktamad dengan keputusan mereka untuk membuang anak kami dari sekolah ini. 

“Kami meneliti surat yang diterima dan apa yang difahamkan pelajar diberi tempoh selama 14 hari dari tarikh surat berkenaan untuk membuat rayuan sebelum tindakan terbabit dikenakan kepada mereka. 

“Namun apabila kami (waris) pelajar berhimpun hari ini (semalam) untuk berjumpa pengurusan sekolah, rayuan kami ditolak kerana pihak sekolah mendakwa rayuan itu sebenarnya adalah untuk mengeluarkan anak kami dari sekolah dan ditukarkan ke sekolah lain sebelum tamat tempoh 14 hari yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita di sini, semalam. 

Difahamkan tindakan itu diambil berikutan kejadian selepas semua pelajar terbabit mengasari seorang pelajar Tingkatan Empat sekolah berkenaan yang dikatakan mengeluarkan kata-kata kesat di surau sekolah itu pada 25 Februari lalu. 

Sementara itu, waris lain, Mohd Shukri Ali, 42, berkata, mereka mengaku kesalahan yang dilakukan anak mereka namun hukuman drastik membuang sekolah dirasakan tidak wajar. 

“Kami rela anak kami dirotan kerana itu memang kesalahan mereka tetapi jangan sampai membuat tindakan membuang mereka dari sekolah kerana ia hanya akan menjejaskan pelajaran tambahan pula mereka bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) beberapa bulan sahaja lagi. 

“Kami tidak faham kenapa keputusan drastik ini dibuat sedangkan tiada laporan sah mengatakan mangsa buli cedera atau sebaliknya tetapi terus hukuman membuang sekolah terpaksa ditanggung oleh 20 pelajar tingkatan lima selain dua lagi yang hanya menerima hukuman rotan sahaja,” katanya. 

Manakala Mohd Azami Abdul Majid, 45, berkata, kebanyakan anak mereka mengambil aliran Sains Teknikal dan sukar bagi mereka membuat penukaran sekolah dalam masa terdekat ini ditambah pula bukan semua sekolah biasa menawarkan aliran itu. 

“Masa yang tinggal telah suntuk, penghujung Mac ini pendaftaran untuk SPM sudah dilakukan jika anak kami bertukar sekolah ia perlu melalui pelbagai proses dan ia akan menyulitkan lagi keadaan,” katanya. 

Azlah Harun, 54, berkata, sebelum ini dia pernah menerima panggilan telefon daripada anaknya memberitahu pihak sekolah membenarkannya pulang ke rumah berikutan kejadian terbabit. 

“Difahamkan pihak sekolah membenarkan mereka pulang dalam tempoh siasatan namun tidak menyangka pula tindakan drastik membuang sekolah diambil tanpa sebarang perbincangan dan waris langsung tidak dimaklumkan apa-apa sehinggalah menerima surat berkenaan dua hari lalu. 

“Apa pun kami sangat berharap anak kami dapat diterima semula masuk ke sekolah ini kerana SPM hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi dan bimbang ia akan menjejaskan pelajaran mereka,” katanya. 

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Negeri Kedah, Abdullah Saad ketika dihubungi meminta semua waris pelajar itu membuat rayuan terus kepada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kedah dalam tempoh sebulan daripada tarikh hukuman buang sekolah itu dikenakan. 

Menurutnya, JPN Kedah akan menyiasat kes berkenaan dan seterusnya dibawa untuk perhatian Bahagian Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di bawah Kementerian Pelajaran untuk tindakan selanjutnya. 

“Bagaimanapun jika SBP menerima rayuan itu, semua pelajar itu akan diterima semula masuk ke sekolah berkenaan tetapi jika sebaliknya, JPN Kedah akan mencari sekolah lain yang sesuai bagi menempatkan mereka yang terlibat,” katanya.

Sunday, March 13, 2011

Salah ibu bapa murid jadi samseng

Salah ibu bapa murid jadi samseng

oleh ABDUL JALIL ALI
3/10/2011 8:16:11 AM
Sekolah nampaknya bukan lagi tempat yang selamat untuk anak-anak kita. Kisah pelajar didera dan dibuli teman sekolah bukan lagi satu kes terpinggir. Dari semasa ke semasa kita mendengar dan membaca mengenai murid-murid diserang dan dibelasah dalam kawasan sekolah.

Terkini media melaporkan perihal samseng sekolah menunjuk belang secara terang-terangan di hadapan mata di Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Safi di Kangar Perlis. Mangsanya ialah Muhamad Shahfaly Anoar, 15.

Murid Tingkatan Tiga itu sedang mengikuti pelajaran di bilik darjah Jumaat lalu apabila seorang murid datang menariknya ke luar di mana sekumpulan 10 pelajar sedang menunggu. Dia dibelasah sehingga retak tulang tangan, lebam di beberapa bahagian tubuh, dan menerima beberapa jahitan.

Laporan polis telah dibuat dan empat pelajar telah direman untuk membantu siasatan. Harap-harap siasatan segera berakhir dan samseng sekolah itu dijatuhi hukuman setimpal dengan jenayah yang mereka lakukan. Jangan ada belas, jangan ada tolak ansur.

Sementara polis menyiasat, beberapa pertanyaan perlu dijawab oleh pihak berkuasa – termasuk pentadbiran sekolah – untuk menenteramkan ibu bapa. Sekiranya perkara ini disembunyikan mungkin ada ibu bapa yang tidak membenarkan anak mereka ke sekolah.

Pertama, bagaimana serangan di dalam bilik darjah itu boleh berlaku tanpa seorang pun tampil ke hadapan untuk memberi bantuan? Muhamad diseret keluar dari bilik darjah jam 11 pagi itu di hadapan rakan-rakan sekelas yang lain.

Apakah tidak seorang pun pelajar prihatin dan simpati dengan nasib rakan sekelasnya? Kalau pun tidak dapat menarik balik rakannya, sekurang-kurangnya ada yang berani menjerit untuk memberitahu guru dan kelas lain mengenai serangan itu.

Kedua, bagaimana guru yang berada di kelas tersebut – menurut laporan akhbar dia sedang mengajar di hadapan kelas – langsung tidak berbuat apa-apa. Apakah betul dia tidak nampak serangan tersebut?

Ketiga, bagaimana serangan sekumpulan 10 orang pelajar di luar bilik darjah langsung tidak dipedulikan oleh murid atau guru kelas-kelas lain. Apakah semuanya terlalu asyik belajar sehingga tidak nampak serangan yang mencederakan itu?

Saya tidak fikir penyerang tersebut menggunakan ilmu pukau atau ilmu sihir sehingga membuat semua orang gamam atau tidak sedar. Saya lebih yakin masing-masing tiada rasa prihatin, tidak ada simpati dan tidak ada tanggungjawab.

Keempat, menurut laporan ayah mangsa kepada polis, pihak sekolah langsung tidak berusaha memberi rawatan kepada anaknya yang cedera. Mangsa menderita kesakitan seorang diri sehingga dijemput oleh ayahnya setelah tamat waktu sekolah.

Bayangkan anak kita mengerang kesakitan, luka dan retak tulang, tidak ada seorang murid atau seorang guru sudi menolong. Sekiranya benar seperti yang dilaporkan malang benarlah pelajar tersebut. Apa sebenarnya telah terjadi di sekolah kita sekarang? Di mana hilangnya rasa kemanusiaan kita?
Muhamad boleh sahaja mohon ditukarkan ke sekolah lain. Tetapi kejadian malang ini tidak semestinya berakhir begitu sahaja. Sebelum ini pun kita sudah mendengar banyak kisah serangan dan buli seperti ini. Apakah tindakan telah diambil ke atas samseng, juga ke atas pihak sekolah?

Seperti yang diketahui umum wujudnya samseng dalam kalangan pelajar bukan lagi satu rahsia sekarang. Biasa sangat kita mendengar pelajar merosakkan harta benda sekolah, mencalarkan kereta guru, menumbuk guru, malah sudah ada yang berani membakar bilik guru. Semua ini menunjukkan betapa disiplin murid di sekolah sudah menjunam ke tahap paling bawah. Cikgu sudah tidak lagi berupaya memperbaiki perangai murid, maka semuanya dilepaskan begitu sahaja. Cikgu takut untuk bertindak terhadap murid yang kurang ajar.

Ibu bapa boleh memainkan peranan memperbaiki disiplin murid. Pada hemat saya disiplin bermula di rumah, bukan di sekolah. Lagi pula masa murid lebih banyak di rumah berbanding di bilik darjah.
Zaman saya sekolah dulu-dulu, guru dibenarkan merotan. Apabila saya dirotan atas kesalahan tertentu, termasuk tidak membuat kerja sekolah, saya tidak berani mengadu kepada ayah. Sebab kalau saya mengadu, ayah akan menyebelahi cikgu. Kalau nasib tidak baik, ayah pula akan merotan saya sekali lagi.

Sekarang tidak semua guru ada kuasa merotan. Kalau ada guru yang mencubit atau mengetuk tangan murid dengan pembaris, ibu bapa akan mengamuk di sekolah, tidak fasal-fasal guru kena tukar sekolah. Ibu bapa sekarang terlalu memanjakan anak, dan tidak akan menerima hakikat bahawa anak mereka nakal. Sikap ibu bapa seperti inilah yang mendorong pelajar kita menjadi samseng.

Lima dakwa ditampar guru

Lima dakwa ditampar guru

Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED
iskandar@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
SAKIT... mangsa menunjukkan bagaimana guru didakwa menampar muka mereka.
SAKIT... mangsa menunjukkan bagaimana guru didakwa menampar muka mereka.
PORT DICKSON: Hanya kerana dikesan ponteng kelas, lima pelajar tingkatan satu sebuah sekolah menengah kebangsaan (SMK) di sini, mendakwa terpaksa menanggung malu apabila ditampar oleh guru mereka di depan rakan lain, baru-baru ini.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 5 petang Rabu lalu, semua pelajar perempuan berusia 13 tahun iaitu Cheok Lai Jun, Liew Jia Kei, Choo Je Yan, Sua Hui Yi dan Yong Poi Xia yang berlainan kelas dikatakan dipanggil oleh guru wanita berusia lingkungan 20-an.

Sejurus berkumpul di dalam sebuah kelas, pelajar sesi petang itu dikatakan diarah guru berkenaan supaya beratur dan menampar pipi kiri mereka di depan beberapa pelajar lain.

Menceritakan kejadian itu, Je Yan berkata, mereka berlima tidak menyertai pelajar lain pergi ke bengkel kemahiran hidup berikutan terlalu letih kerana menyertai program kokurikulum pada sebelah pagi.

“Kira-kira jam 4 petang itu, kami bagaimanapun tidak keluar dari kawasan sekolah dan hanya berehat di kelas. Sejam kemudian, guru yang turut mengajar mata pelajaran Sejarah pada ketika itu memanggil kami dan bertanya mengapa kami tidak pergi ke bengkel.

“Kami memberitahu kerana terlalu letih namun dia tidak dapat menerima alasan itu lalu menampar muka kami,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Click Here

Turut hadir, ibunya, Tan Sew Eng, 40, dan dua lagi rakannya, Lai Jun dan Jia Kei.

Menurut Je Yan yang mewakili semua rakannya, emosi mereka terganggu dengan kejadian itu kerana terpaksa menanggung malu dengan rakan pelajar lain.

Sementara itu, Sew Eng berkata, beliau tidak dapat menerima tindakan guru berkenaan yang dianggap keterlaluan.

“Saya tahu dia (anak) memang bersalah tetapi mengapa guru menampar muka mereka di depan pelajar lain?Saya tidak akan mempertikaikan tindakannya jika dia merotan tangan atau anggota badan lain kurang tidak sensitif,” katanya.

Menurutnya, dia akan membuat laporan rasmi kepada Jabatan Pelajaran negeri dan Kementerian Pelajaran supaya guru terbabit dikenakan tindakan sewajarnya.

Thursday, March 10, 2011

Bom' gegar sekolah

Bom' gegar sekolah

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim, Raja Noraina Raja Rahim dan Yusliza Yakimir Abd Talib
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
INI DIA...bangunan sekolah yang cuba dibom oleh dua pelajar.
INI DIA...bangunan sekolah yang cuba dibom oleh dua pelajar.
KUALA LUMPUR: Gara-gara tidak puas hati dengan guru, dua pelajar nekad meletupkan bangunan sebuah sekolah menengah di pinggir ibu kota dengan ‘bom’ buatan sendiri yang dipercayai diperbuat daripada mercun bola dan lingkaran nyamuk, semalam.
Tindakan ala ‘MacGyver’ itu dilakukan kedua-dua pelajar tingkatan tiga terbabit pada kira-kira jam 7.40 pagi menyebabkan berlaku tiga letupan di tiga lokasi berasingan sekolah berkenaan, sekali gus menggemparkan guru dan pelajar yang baru memulakan sesi pembelajaran.
Sumber polis berkata, pelajar terbabit dipercayai cuba membakar bangunan sekolah mereka, namun ketiga-tiga letupan yang dihasilkan tidak mencetuskan kebakaran.
“Biarpun insiden itu tidak mendatangkan kemalangan jiwa atau kecederaan kepada guru mahupun pelajar, ia kesalahan serius dan polis kini memburu kedua-dua pelajar terbabit yang dikenal pasti identiti mereka,” katanya.
Click Here

Menurutnya, letupan pertama kedengaran ketika sesi pembelajaran baru bermula dan tersentak dengan itu, beberapa guru bersama pengawas sekolah bergegas mencari lokasi kejadian.
“Dalam kebingungan mencari punca letupan, satu lagi letupan berlaku kira-kira 10 minit kemudian di bangunan berhampiran pejabat dan kira-kira 20 meter dari lokasi letupan pertama yang berlaku dalam sebuah bilik darjah kosong di blok berlainan,” katanya.

Sumber itu berkata, ketika letupan kedua, beberapa guru mendakwa melihat cebisan kertas yang hancur dan beberapa lingkaran nyamuk yang masih berasap di atas bangunan berkenaan.

Menurutnya, bimbang dengan keadaan itu, pihak pengurusan sekolah menghubungi polis dan lima anggota dari Balai Polis Setapak tiba di lokasi kejadian kira-kira lima minit kemudian.

“Anggota polis berkenaan mula menggeledah bangunan sekolah itu, namun gagal mengesan suspek. Dalam kesibukan itu, tiba-tiba kedengaran pula letupan ketiga pada kira-kira jam 8.40 pagi di kawasan padang sekolah berkenaan,” katanya.

Menurutnya, seorang saksi yang juga pelajar sekolah terbabit mendakwa melihat dua pelajar lengkap berpakaian sekolah tergesa-gesa meninggalkan sekolah dengan menggunakan motosikal yang diletakkan di luar sekolah.

Sehubungan itu, wakil sekolah berkenaan membuat laporan di Balai Polis Setapak di sini dan Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan itu.

“Siasatan awal mendapati pelajar terbabit menggunakan mercun bola dan lingkaran nyamuk untuk menghasilkan letupan itu. Sehingga kini tiada tangkapan dilakukan dan motif sebenar masih dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, pihaknya menyerahkan siasatan penuh dilakukan pihak berkuasa mengenai motif sebenar insiden berkenaan.

“Jika hasil siasatan mendapati perbuatan itu dilakukan pelajar sekolah berkenaan, tindakan tegas akan diambil,” katanya.

Tiga pelajar samseng

Tiga pelajar samseng

Oleh Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
NOREL AZMI...ambil keterangan tiga pelajar.
NOREL AZMI...ambil keterangan tiga pelajar.
HULU SELANGOR: Tiga pelajar tingkatan lima sebuah sekolah menengah di sini, bertindak samseng dengan mengugut untuk membunuh seorang guru disiplin, kelmarin.
Difahamkan, kumpulan terbabit bertindak demikian kerana tidak puas hati apabila guru terbabit enggan menerima buku teks yang mahu dipulangkan mereka.
Berikutan itu, ketiga-tiga pelajar terbabit ditahan pihak berkuasa sejurus guru lelaki berkenaan membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan.

Kejadian itu bermula kira-kira jam 11 pagi apabila tujuh pelajar sekolah berkenaan pergi ke pejabat sekolah bertemu pengetua untuk memulangkan buku teks yang enggan digunakan mereka.
Click Here


Menurut sumber, tindakan tujuh pelajar itu yang berlagak samseng dengan meluru masuk ke pejabat sekolah tanpa meminta kebenaran bagaimanapun cuba dihalang guru berkenaan.

“Hairan dengan tindakan pelajar terbabit, guru disiplin itu bertanyakan tujuan mereka mahu berjumpa pengetua dan mereka memberitahu mahu memulangkan buku teks yang tidak mahu digunakan lagi.

“Guru itu menjelaskan kepentingan dan salah faham yang timbul mengenai buku berkenaan yang dianggap memberi ilmu pengetahuan kepada pelajar,” katanya.

Namun, pelajar terbabit tidak puas hati dengan penjelasan guru itu dan menganggap dia sengaja menghalang mereka bertemu pengetua dan mula bertindak biadab dengan meninggikan suara.

Sumber berkata, guru disiplin yang tergamam dengan tindakan pelajar terbabit cuba menenangkan keadaan dan menjelaskan perkara sebenar.

“Bagaimanapun, keadaan menjadi kecoh apabila tiga daripada pelajar terbabit mengugut guru itu kerana mendakwa dia menyinggung perasaan mereka,” katanya.

Bimbang keselamatan diri berikutan ugutan pelajar terbabit, guru berkenaan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor, di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendy ketika dihubungi mengesahkan penahanan ketiga-tiga pelajar itu.

Menurutnya, semua mereka ditahan dalam tempoh 24 jam bagi mengambil keterangan berhubung insiden itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Sementara itu, Bernama memetik Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan, sebagai berkata beliau akan mengadakan perjumpaan dengan ibu bapa dan guru sekolah berkenaan esok berhubung isu buku teks itu.

“Saya akan pastikan pelajar menerima kembali buku berkenaan kerana itu arahan kerajaan yang mengekalkan novel berkenaan sebagai teks komponen sastera (Komsas) tingkatan lima,” katanya di Kuala Lumpur, semalam.

Kamalanathan berkata, berikutan kejadian itu, guru berkenaan sudah membuat laporan polis kerana mendakwa diugut abang seorang daripada pelajar itu pada Isnin lalu, manakala pelajar terbabit turut membuat laporan polis kerana perkataan yang digunakan guru itu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget

Nuffnang Body