Nuffnang Head

Thursday, March 17, 2011

20 pelajar dibuang sekolah

20 pelajar dibuang sekolah 


BUKIT KAYU HITAM - “Kami kesal kerana pertemuan dengan pengetua untuk membuat rayuan tidak mendatangkan hasil sebaliknya pengurusan sekolah tetap dengan keputusan untuk membuang anak kami dari sekolah,” keluhan waris pelajar sebuah sekolah berasrama ketika ditemui di luar pekarangan sekolah itu di sini, semalam. 

Berikutan keputusan muktamad itu, waris kepada 20 pelajar Tingkatan Lima yang didakwa terlibat dengan kes buli di sekolah berkenaan kecewa kerana rayuan mereka untuk terus mengekalkan anak-anak mereka di situ ditolak tanpa kompromi. 

Seorang waris, Jasmi Mohd Noor, 44, mendakwa tindakan anak mereka dibuang sekolah hanya diketahui selepas menerima surat daripada pihak sekolah yang bertarikh 10 Mac melalui kiriman pos laju dua hari lalu. 

Menurutnya, mereka amat terkejut apabila menerima surat berkenaan dan mengambil keputusan untuk berjumpa dengan pihak sekolah pada hari ini (semalam) untuk membuat rayuan seperti yang tertera pada surat yang diterima. 

“Bagaimanapun kami hampa kerana rayuan yang dibuat untuk terus mengekalkan anak kami di sini tidak dilayan malah pihak sekolah muktamad dengan keputusan mereka untuk membuang anak kami dari sekolah ini. 

“Kami meneliti surat yang diterima dan apa yang difahamkan pelajar diberi tempoh selama 14 hari dari tarikh surat berkenaan untuk membuat rayuan sebelum tindakan terbabit dikenakan kepada mereka. 

“Namun apabila kami (waris) pelajar berhimpun hari ini (semalam) untuk berjumpa pengurusan sekolah, rayuan kami ditolak kerana pihak sekolah mendakwa rayuan itu sebenarnya adalah untuk mengeluarkan anak kami dari sekolah dan ditukarkan ke sekolah lain sebelum tamat tempoh 14 hari yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita di sini, semalam. 

Difahamkan tindakan itu diambil berikutan kejadian selepas semua pelajar terbabit mengasari seorang pelajar Tingkatan Empat sekolah berkenaan yang dikatakan mengeluarkan kata-kata kesat di surau sekolah itu pada 25 Februari lalu. 

Sementara itu, waris lain, Mohd Shukri Ali, 42, berkata, mereka mengaku kesalahan yang dilakukan anak mereka namun hukuman drastik membuang sekolah dirasakan tidak wajar. 

“Kami rela anak kami dirotan kerana itu memang kesalahan mereka tetapi jangan sampai membuat tindakan membuang mereka dari sekolah kerana ia hanya akan menjejaskan pelajaran tambahan pula mereka bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) beberapa bulan sahaja lagi. 

“Kami tidak faham kenapa keputusan drastik ini dibuat sedangkan tiada laporan sah mengatakan mangsa buli cedera atau sebaliknya tetapi terus hukuman membuang sekolah terpaksa ditanggung oleh 20 pelajar tingkatan lima selain dua lagi yang hanya menerima hukuman rotan sahaja,” katanya. 

Manakala Mohd Azami Abdul Majid, 45, berkata, kebanyakan anak mereka mengambil aliran Sains Teknikal dan sukar bagi mereka membuat penukaran sekolah dalam masa terdekat ini ditambah pula bukan semua sekolah biasa menawarkan aliran itu. 

“Masa yang tinggal telah suntuk, penghujung Mac ini pendaftaran untuk SPM sudah dilakukan jika anak kami bertukar sekolah ia perlu melalui pelbagai proses dan ia akan menyulitkan lagi keadaan,” katanya. 

Azlah Harun, 54, berkata, sebelum ini dia pernah menerima panggilan telefon daripada anaknya memberitahu pihak sekolah membenarkannya pulang ke rumah berikutan kejadian terbabit. 

“Difahamkan pihak sekolah membenarkan mereka pulang dalam tempoh siasatan namun tidak menyangka pula tindakan drastik membuang sekolah diambil tanpa sebarang perbincangan dan waris langsung tidak dimaklumkan apa-apa sehinggalah menerima surat berkenaan dua hari lalu. 

“Apa pun kami sangat berharap anak kami dapat diterima semula masuk ke sekolah ini kerana SPM hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi dan bimbang ia akan menjejaskan pelajaran mereka,” katanya. 

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Negeri Kedah, Abdullah Saad ketika dihubungi meminta semua waris pelajar itu membuat rayuan terus kepada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kedah dalam tempoh sebulan daripada tarikh hukuman buang sekolah itu dikenakan. 

Menurutnya, JPN Kedah akan menyiasat kes berkenaan dan seterusnya dibawa untuk perhatian Bahagian Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di bawah Kementerian Pelajaran untuk tindakan selanjutnya. 

“Bagaimanapun jika SBP menerima rayuan itu, semua pelajar itu akan diterima semula masuk ke sekolah berkenaan tetapi jika sebaliknya, JPN Kedah akan mencari sekolah lain yang sesuai bagi menempatkan mereka yang terlibat,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Nuffnang Body