Nuffnang Head

Sunday, March 13, 2011

Salah ibu bapa murid jadi samseng

Salah ibu bapa murid jadi samseng

oleh ABDUL JALIL ALI
3/10/2011 8:16:11 AM
Sekolah nampaknya bukan lagi tempat yang selamat untuk anak-anak kita. Kisah pelajar didera dan dibuli teman sekolah bukan lagi satu kes terpinggir. Dari semasa ke semasa kita mendengar dan membaca mengenai murid-murid diserang dan dibelasah dalam kawasan sekolah.

Terkini media melaporkan perihal samseng sekolah menunjuk belang secara terang-terangan di hadapan mata di Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Safi di Kangar Perlis. Mangsanya ialah Muhamad Shahfaly Anoar, 15.

Murid Tingkatan Tiga itu sedang mengikuti pelajaran di bilik darjah Jumaat lalu apabila seorang murid datang menariknya ke luar di mana sekumpulan 10 pelajar sedang menunggu. Dia dibelasah sehingga retak tulang tangan, lebam di beberapa bahagian tubuh, dan menerima beberapa jahitan.

Laporan polis telah dibuat dan empat pelajar telah direman untuk membantu siasatan. Harap-harap siasatan segera berakhir dan samseng sekolah itu dijatuhi hukuman setimpal dengan jenayah yang mereka lakukan. Jangan ada belas, jangan ada tolak ansur.

Sementara polis menyiasat, beberapa pertanyaan perlu dijawab oleh pihak berkuasa – termasuk pentadbiran sekolah – untuk menenteramkan ibu bapa. Sekiranya perkara ini disembunyikan mungkin ada ibu bapa yang tidak membenarkan anak mereka ke sekolah.

Pertama, bagaimana serangan di dalam bilik darjah itu boleh berlaku tanpa seorang pun tampil ke hadapan untuk memberi bantuan? Muhamad diseret keluar dari bilik darjah jam 11 pagi itu di hadapan rakan-rakan sekelas yang lain.

Apakah tidak seorang pun pelajar prihatin dan simpati dengan nasib rakan sekelasnya? Kalau pun tidak dapat menarik balik rakannya, sekurang-kurangnya ada yang berani menjerit untuk memberitahu guru dan kelas lain mengenai serangan itu.

Kedua, bagaimana guru yang berada di kelas tersebut – menurut laporan akhbar dia sedang mengajar di hadapan kelas – langsung tidak berbuat apa-apa. Apakah betul dia tidak nampak serangan tersebut?

Ketiga, bagaimana serangan sekumpulan 10 orang pelajar di luar bilik darjah langsung tidak dipedulikan oleh murid atau guru kelas-kelas lain. Apakah semuanya terlalu asyik belajar sehingga tidak nampak serangan yang mencederakan itu?

Saya tidak fikir penyerang tersebut menggunakan ilmu pukau atau ilmu sihir sehingga membuat semua orang gamam atau tidak sedar. Saya lebih yakin masing-masing tiada rasa prihatin, tidak ada simpati dan tidak ada tanggungjawab.

Keempat, menurut laporan ayah mangsa kepada polis, pihak sekolah langsung tidak berusaha memberi rawatan kepada anaknya yang cedera. Mangsa menderita kesakitan seorang diri sehingga dijemput oleh ayahnya setelah tamat waktu sekolah.

Bayangkan anak kita mengerang kesakitan, luka dan retak tulang, tidak ada seorang murid atau seorang guru sudi menolong. Sekiranya benar seperti yang dilaporkan malang benarlah pelajar tersebut. Apa sebenarnya telah terjadi di sekolah kita sekarang? Di mana hilangnya rasa kemanusiaan kita?
Muhamad boleh sahaja mohon ditukarkan ke sekolah lain. Tetapi kejadian malang ini tidak semestinya berakhir begitu sahaja. Sebelum ini pun kita sudah mendengar banyak kisah serangan dan buli seperti ini. Apakah tindakan telah diambil ke atas samseng, juga ke atas pihak sekolah?

Seperti yang diketahui umum wujudnya samseng dalam kalangan pelajar bukan lagi satu rahsia sekarang. Biasa sangat kita mendengar pelajar merosakkan harta benda sekolah, mencalarkan kereta guru, menumbuk guru, malah sudah ada yang berani membakar bilik guru. Semua ini menunjukkan betapa disiplin murid di sekolah sudah menjunam ke tahap paling bawah. Cikgu sudah tidak lagi berupaya memperbaiki perangai murid, maka semuanya dilepaskan begitu sahaja. Cikgu takut untuk bertindak terhadap murid yang kurang ajar.

Ibu bapa boleh memainkan peranan memperbaiki disiplin murid. Pada hemat saya disiplin bermula di rumah, bukan di sekolah. Lagi pula masa murid lebih banyak di rumah berbanding di bilik darjah.
Zaman saya sekolah dulu-dulu, guru dibenarkan merotan. Apabila saya dirotan atas kesalahan tertentu, termasuk tidak membuat kerja sekolah, saya tidak berani mengadu kepada ayah. Sebab kalau saya mengadu, ayah akan menyebelahi cikgu. Kalau nasib tidak baik, ayah pula akan merotan saya sekali lagi.

Sekarang tidak semua guru ada kuasa merotan. Kalau ada guru yang mencubit atau mengetuk tangan murid dengan pembaris, ibu bapa akan mengamuk di sekolah, tidak fasal-fasal guru kena tukar sekolah. Ibu bapa sekarang terlalu memanjakan anak, dan tidak akan menerima hakikat bahawa anak mereka nakal. Sikap ibu bapa seperti inilah yang mendorong pelajar kita menjadi samseng.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget

Nuffnang Body