Nuffnang Head

Showing posts with label Utusan Malaysia. Show all posts
Showing posts with label Utusan Malaysia. Show all posts

Monday, January 24, 2011

Wakil rakyat sokong wajib jalani ujian kesihatan

Wakil rakyat sokong wajib jalani ujian kesihatan

KUALA LUMPUR 23 Jan. - Beberapa anggota Parlimen menyambut baik cadangan Kementerian Kesihatan untuk mewajibkan wakil rakyat menjalani ujian kesihatan setiap tahun untuk mengenal pasti tahap kesihatan mereka bagi memastikan mereka dapat menjalankan tugas dengan baik.
Bagi Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar, anggota Parlimen bukan sahaja hanya perlu menjalani pemeriksaan kesihatan setiap tahun malah perlu diberi latihan bagaimana untuk mengawal tekanan memandangkan tanggungjawab mereka.
Anggota Parlimen Santubong itu berkata, walaupun ajal dan maut di tangan Tuhan, tetapi wakil rakyat mestilah menjaga kesihatan bagi memastikan mereka sihat untuk berkhidmat.
Sebagai orang yang berpengalaman sebagai wakil rakyat, iaitu telah menjadi wakil rakyat sejak 20 tahun lepas dan mewakili dua kawasan Parlimen yang berbeza iaitu di Batang Lupar selama tiga penggal (1990- 2004) dan di Santubong sejak pilihan raya umum 2004 hingga kini, beliau berkata, terdapat masalah yang berbeza dari satu kawasan ke satu kawasan.
"Untuk jadi wakil rakyat perlu bersedia dengan semua ini," katanya kepada Bernama apabila diminta mengulas kenyataan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai bahawa pihaknya akan membawa ke mesyuarat mingguan Jemaah Menteri minggu ini untuk mewajibkan wakil rakyat menjalani pemerikasaan kesihatan berikutan banyak pilihan raya kecil diadakan berikutan kematian wakil rakyat disebabkan masalah kesihatan.
Sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 pada Mac 2008, sebanyak 14 pilihan raya kecil telah diadakan dengan 10 daripadanya berikutan kematian wakil rakyat kerana pelbagai masalah kesihatan.
Kematian terbaru ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, pada Khamis lepas kerana serangan jantung yang menjadikan jumlah pilihan raya kecil meningkat kepada 15.
Dua lagi wakil rakyat BN yang meninggal kerana serangan jantung ialah Datuk Razali Ismail anggota Parlimen Kuala Terengganu pada 28 November 2008 dan ADUN Batang Ai, Datuk Dublin Unting, 55, pada 24 Februari 2009.
Selain itu tiga wakil rakyat Pas iaitu anggota Parlimen Bukit Gantang, Roslan Shaharom, 50, pada 9 Februari 2009; ADUN Manek Urai, Ismail Yaacob, 60, (25 Mei 2009); ADUN Permatang Pasir, Datuk Hamdan Abdul Rahman, 63, (31 Julai 2009) juga meninggal akibat sakit jantung.
Seramai tiga wakil rakyat meninggal kerana penyakit kanser iaitu anggota Parlimen Hulu Selangor, Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad dari Parti Keadilan Rakyat pada 25 Mac 2010 kerana barah otak; anggota Parlimen Sibu, Datuk Robert Lau dari BN, 68, pada 9 April 2010 kerana kanser hati dan ADUN Galas, Chek Hashim Sulaima dari Pas, 47, kerana barah usus pada 27 September 2010.
Bagi anggota Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, cadangan Liow itu adalah satu inisiatif yang baik, malah beliau sendiri sejak menjadi wakil rakyat pada 1999 sentiasa menjalani pemeriksaan kesihatan berkala.
"Tetapi pemeriksaan ini bukanlah satu cara untuk mencegah kematian. Mungkin dalam tempoh enam bulan selepas melakukan pemeriksaan kita jatuh sakit, kita tidak akan tahu perkara itu dan ia di luar kawalan doktor," kata Naib Presiden Pas itu.
Anggota Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahalan pula mencadangkan maklumat mengenai kesihatan wakil rakyat itu perlu dirahsiakan dengan hanya pemimpin parti sahaja yang mengetahui mengenainya.
Abdul Rahman juga mencadangkan supaya wakil rakyat perlu berhati-hati dalam menggunakan pengangkutan semasa melawat kawasan kerana ada yang terpaksa menaiki bot ataupun menaiki kenderaan berjam-jam untuk sampai ke kawasan masing-masing terutama di luar bandar.
Bagi Timbalan Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw, 69, yang merupakan antara anggota Parlimen paling lama iaitu anggota Parlimen Kepong sejak pilihan raya umum 1982 dan seorang doktor berkata, "Walaupun kita tidak boleh menjamin kesihatan seseorang selepas pemeriksaan kesihatan setiap tahun (atau berkala), ia boleh memberikan peringatan kepada mereka mengenai betapa pentingnya kesihatan itu (untuknya)." - BERNAMA

Lee Chong Wei Juara

Kejuaraan untuk Misbun


Lee Chong Wei menuju ke arah jurulatihnya, Misbun Sidek selepas memenangi perlawanan akhir Terbuka Malaysia, mengalahkan Taufik Hidayat 21-8, 21-17 di Stadium Putra Bukit Jalil, semalam. - UTUSAN/ASWAD YAHYA



KUALA LUMPUR - Datuk Lee Chong Wei terlalu hebat untuk ditandingi Taufik Hidayat dan keunggulan jaguh No. 1 dunia itu melayakkannya menjuarai badminton Terbuka Malaysia kali ketujuh semalam.
Malah, Taufik mengakui Chong Wei terlalu bagus sehingga membenarkannya merapatkan jurang mata di set kedua, hanya kerana mahu menjaga air mukanya, memandangkan mereka berdua adalah rakan baik. Chong Wei menang 21-8, 21-17 hanya dalam masa 37 minit.
"Saya rasa dalam set kedua, Chong Wei hanya bagi peluang kepada saya. Jurang mata di antara kami terlalu besar, dia mungkin mahu menjaga air muka saya, kerana kami kawan baik.
"Saya memang tidak punya sebarang alasan atas kekalahan ini, Chong Wei jauh lebih baik daripada saya hari ini, dia terlalu bagus dan berhak menang," kata Taufik, yang ketinggalan 8-18 di set kedua sebelum mengejar untuk kedudukan 17-18.
Sejak muncul juara pada 2004, jaguh No. 1 dunia itu hanya sekali terlucut gelaran Terbuka Malaysia pada 2007, yang dimenangi bintang Denmark, Peter Hoeg Gade. Namun, selebihnya dia menguasai saingan pada 2004, 2005, 2006, 2008, 2009, 2010 dan 2011.
Ketika krisis jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek belum berkesudahan, Chong Wei membuktikan kekentalan mentalnya tidak mampu diganggu isu luar gelanggang. Ini adalah kejuaraan keduanya sejak isu peletakan jawatan Misbun pada 1 Januari lalu.
Kejuaraan semalam mungkin hadiah terbaik buat Misbun, yang setia menemaninya dari tepi gelanggang pada kejohanan di sini.
Lebih menggembirakan, isu Misbun mula menunjukkan tanda positif, apabila jurulatih itu menunjukkan 'isyarat positif' ketika ditanya wartawan mengenai keputusan BAM, semalam yang memberikan mandat kepada Presidennya, Datuk Seri Nadzmi Mohd. Salleh untuk menyelesaikan kemelut Misbun.
Kemenangan semalam bukan saja membolehkan Chong Wei membawa pulang hadiah AS$$30,000 (RM96,000) tetapi menghampiri rekod legenda badminton negara, Wong Peng Soon, yang memenangi lapan kejuaraan.
Peng Soon, yang ketika itu mewakili Malaya muncul juara perseorangan lelaki pada 1940, 1941, 1947, 1949, 1950, 1951, 1952 dan 1953.
"Saya gembira dapat mempertahankan kejuaraan dan memenangi gelaran buat kali ketujuh. Selepas semua pemain Malaysia kalah, saya sedar sebagai wakil tunggal negara yang masih meneruskan cabaran, harapan yang diletakkan kepada saya amat tinggi.
"Saya tidak mahukan keputusan yang tidak baik, saya hanya mahu kemenangan untuk menggembirakan penyokong. Jurulatih saya (Misbun) meninggalkan pesan kepada saya supaya bekerja lebih keras jika mahu menang, berdepan ribuan penyokong yang amat mengharapkan kemenangan daripada saya bukan situasi yang mudah," kata Chong Wei.

Sunday, January 16, 2011

Utusan Melayu Merintis E-pembelajaran Mobil Pertama bersama Duke Court

Syabas kepada Utusan Malaysia dan Duke Court.  Kini sistem pendidikan sekolah di Malaysia akan dimartabatkan lagi dengan adanya sistem e-pembelajaran mobil.  Ini merupakan usaha yang sulung untuk merintis sistem teknologi maklumat yang sudah sedia ada.

E-pembelajaran mobil pertama di Malaysia
dipetik Utusan Malaysia 12 Januari 2011
MOHAMED Salleh Bajuri (dua dari kiri) bertukar dokumen dengan Mohd. Nasir Ali sambil disaksikan oleh Rafli Ridwan (kiri) dan Wahid Hashim pada majlis menandatangani perjanjian bagi membekal kandungan e-pembelajaran SekolahKu antara Duke Court Sdn. Bhd. dan Utusan Melayu (M) Bhd. di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 11 Jan. - Duke Court Sdn. Bhd. (Duke Court) akan menjalinkan kerjasama dengan Utusan Melayu (M) Berhad (Utusan Melayu) dalam usahanya membangunkan sistem e-pembelajaran mobil pertama di negara ini yang dikenali sebagai SekolahKu.

Melalui perjanjian itu, Utusan Melayu menerusi Unit Pendidikannya akan membekalkan kandungan berbentuk soalan bagi latihan dan rujukan pelajar sekolah di seluruh negara kepada pemilik SekolahKu, Duke Court.

Pengerusi Duke Court, Datuk Mohamed Salleh Bajuri berkata, sistem e-pembelajaran SekolahKu mampu diakses di mana-mana sahaja menggunakan sebarang peranti yang mempunyai capaian Internet seperti telefon bimbit pintar, iPad dan PSP (PlayStation Portable) selain komputer.

"Kami ingin memanfaatkan kecanggihan teknologi untuk membantu pelajar di negara ini meningkatkan tahap pencapaian akademik mereka melalui medium yang selesa dibawa ke mana-mana," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Utusan Melayu dan Duke Court bagi membekalkan kandungan SekolahKu di KL Sentral di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Mohd. Nasir Ali; Naib Presiden Kanan Duke Court, Rafli Ridwan dan Pengarang Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim.

Menurut Mohamed Salleh, SekolahKu menyediakan pembelajaran interaktif untuk semua subjek teras bagi setiap tahap peperiksaan merangkumi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Soalan-soalan yang terdapat dalam SekolahKu disediakan oleh kumpulan panel jurulatih utama dan guru pakar setiap mata pelajaran yang dilantik oleh Utusan Melayu.

"Selain itu, Utusan Melayu turut akan membekalkan berita berkaitan bidang pendidikan untuk portal SekolahKu," jelasnya.

Selain itu katanya, Portal Pendidikan Utusan juga akan membantu mempromosikan SekolahKu dengan mengadakan aktiviti berbentuk bengkel di sekolah-sekolah secara berkala.

"Publisiti dan berita berkaitan SekolahKu akan dimuatkan dalam akhbar Utusan Malaysia atau sisipan pendidikan, ADaP," tambahnya.

Sementara itu Rafli Ridwan pula memberitahu, para pelajar juga boleh mengetahui tahap kesediaan untuk menduduki peperiksaan berdasarkan rekod pencapaian dalam setiap latihan yang dilakukan.

"Selain itu, SekolahKu juga mempunyai program kesetiaan dengan beberapa intensif seperti pemberian hadiah dengan menukarkan mata ganjaran berdasarkan markah tertinggi dalam masa terpantas yang diperoleh murid semasa ujian.

"Mata ganjaran tersebut boleh ditukarkan kepada hadiah-hadiah menarik seperti iPad, iPhone dan iPod serta baucar makanan daripada KFC, McDonalds dan Pizza Hut bergantung pada jumlah mata yang dikumpul," jelas beliau.

Pendaftaran untuk mengikuti sistem pembelajaran serba moden itu boleh dilakukan di www.sekolahku.com.my.

Yuran bagi setiap pelajar adalah sebanyak RM150 setahun mengikut tahap peperiksaan yang diambil dan bagi pendaftaran bulan ini, Duke Court menawarkan potongan harga sebanyak RM20.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Nuffnang Body