Nuffnang Head

Saturday, February 5, 2011

Sarawak buka langkah bergaya


Sarawak buka langkah bergaya

by Wan ali Amit. Posted on February 1, 2011, Tuesday
Skuad negeri mulakan musim dengan kemenangan besar 4-0 ke atas Pulau Pinang
KUCHING: Sarawak memulakan langkah bergaya dalam saingan Liga Perdana 2011 apabila mencatat kemenangan besar 4-0 membenam Pulau Pinang di gelanggang lawan iaitu Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang petang semalam.
Gol-gol pasukan negeri dijaringkan oleh bekas pemain kebangsaan, Wong Sai Kong pada minit ke-32 sebelum pemain import dari Sabah, Bobby Gonzales menjaringkan gol kedua buat Sarawak tiga minit selepas itu.
Babak pertama, Sarawak banyak menguasai perlawanan dan mereka berjaya mendahului Pulau Pinang dengan 2-0.
Babak kedua, Sarawak giat melancarkan asakan demi asakan ke kubu tuan rumah dan hasilnya, pasukan pelawat berjaya menambah dua lagi jaringan menerusi ketua pasukan, Zamri Morshidi (penalti minit ke-82) sebelum pemain pertahanan, Mazwandi Zekeria melengkapkan jaringan keempat pada masa kecederaan.
“Semua pemain beraksi dengan baik dan kita berupaya menguasai sepanjang 90 minit perlawanan meskipun mendapat tentangan sengit pihak lawan.
“Saya amat kagum dengan persembahan menarik semua pemain dan kita memperolehi banyak peluang untuk menjaringkan lebih banyak gol,” kata ketua jurulatih merangkap pengurus pasukan Sarawak, Mohd Zaki Shaikh Ahmad ketika dihubungi Utusan Borneo di Pulau Pinang semalam.
Jurulatih berasal dari Negeri Sembilan itu berkata walaupun beraksi di gelanggang lawan namun skuadnya tampak begitu bersemangat untuk melakarkan kemenangan pertama kancah Liga Perdana musim baru ini.
“Saya amat berpuas hati dengan corak permainan serta prestasi kesemua pemain walaupun kita beraksi di tempat lawan.
“Malah, saya yakin pemain-pemain kita mampu mengekalkan kehebatan mereka dalam perlawanan-perlawanan seterusnya,” kata Mohd Zaki dengan nada gembira.
Mohd Zaki menarik perhatian bahawa kesebelasan utama yang diturunkan berjaya menunjukkan kombinasi yang berkesan terutama gandingan dua penyerangnya, Zamri dan Bobby.
“Kedua-dua pemain penyerang kita mampu menjaringkan gol dan ini membuktikan mereka mempunyai kombinasi terbaik,” katanya.
Walau bagaimanapun, Mohd Zaki enggan ‘mendabik dada’ dengan kemenangan besar anak-anak buahnya kerana saingan Liga Perdana baru sahaja bermula.
“Kami akan sentiasa meningkatkan usaha serta memperbaiki segala kelemahan menjelang perlawanan-perlawanan akan datang,” katanya merendah diri.
Sarawak akan beraksi dengan di gelanggang sendiri iaitu Stadium Negeri, Petra Jaya pada Jumaat depan (11 Februari) jam 4.15 petang apabila menanti kunjungan pasukan kebangsaan, Harimau Muda B.
Yang pasti, kemenangan bergaya pasukan Sarawak petang semalam seharusnya mampu menarik para penyokong tempatan untuk datang beramai-ramai bagi memberi sokongan padu kepada pasukan kita.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Nuffnang Body