Nuffnang Head

Tuesday, February 15, 2011

Sarawak benam SDM Navy 3-0!


Sarawak benam SDM Navy 3-0!

by Wan Ali Amit. Posted on February 15, 2011, Tuesday
Mohd Zaki tuntut peningkatan prestasi di sebalik kemenangan selesa pasukannya

ALA ROONEY: Penyerang Sarawak, Bobby Gonzales (kanan) menjaringkan gol cantik ketika menentang SDM Navy Pulau Pinang pada perlawanan Liga Perdana yang berlangsung di Stadium Negeri, Petra Jaya semalam. Sarawak menang selesa 3-0. — Gambar Johnathan Bullet
KUCHING: Meskipun beraksi pada tahap prestasi yang kurang memuaskan, skuad Sarawak masih boleh berbangga dengan kemenangan mutlak 3-0 ke atas kelab tentera, SDM Navy Pulau Pinang dalam aksi Liga Perdana di Stadium Negeri, Petra Jaya petang semalam (Isnin).
Disaksikan hampir 5,000 penyokong tuan rumah, Sarawak yang turun berjersi serba merah menceriakan para penonton dengan gol pertama seawal minit kelapan babak pertama menerusi ledakan penyerang yang juga kapten Sarawak, Zamri Morshidi.
Dengan sokongan padu para penyokong dan peminat setianya, pasukan tuan rumah terus menguasai perlawanan dan hasilnya, gol kedua diperolehi pada minit ke-43 menerusi sentuhan berbisa penyerang import dari Sabah, Bobby Gonzales.
Babak kedua bagaimanapun menyaksikan Sarawak terlepas banyak peluang untuk menambah jaringan, namun mujurlah sentuhan berbisa Bobby Gonzales yang pernah muncul sebagai penjaring terbanyak skuad KL Plus musim lalu terus menjadi dengan gol ketiga pada minit-minit akhir perlawanan.
“Walaupun menang bergaya, saya akui mutu persembahan pemain-pemain agak kurang menyengat pada perlawanan ini,” akui ketua jurulatih merangkap pengurus skuad Sarawak, Mohd Zaki Shaikh Ahmad.
Menurut Mohd Zaki, para pemainnya nampak kurang bersemangat kerana mungkin terikut-ikut dengan rentak permainan pasukan lawan yang kelihatan lebih berminat untuk bertahan.
Walau bagaimanapun, katanya, masih banyak perlawanan yang bakal mereka harungi musim ini dan beliau yakin anak-anak buahnya mampu meningkatkan prestasi mereka.
“Saya tetap berpuas hati dengan kemenangan kami hari ini dan saya percaya pemain-pemain akan terus meningkatkan permainan mereka pada perlawanan-perlawanan akan datang,” katanya.
Mohd Zaki menarik perhatian bahawa skuad akan menghadapi tiga perlawanan di tempat lawan selepas ini termasuk satu aksi Piala FA.
Sarawak akan berkunjung ke Stadium Selayang, Kuala Lumpur pada 19 Februari ini (Sabtu) untuk menjadi ‘tetamu’ skuad Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam aksi pertama pusingan awal Piala FA 2011.
Selepas itu, Sarawak sekali lagi beraksi di Stadium Selayang untuk bertemu dengan pasukan KL Pos FC dalam saingan Liga Perdana pada 25 Februari.
Sarawak akan meneruskan cabaran Liga Perdana musim ini dengan bertandang pula ke Johor untuk menentang MP Muar Johor di Stadium Jcop, Pasir Gudang pada 28 Februari (Isnin).
“Saya berharap pemain-pemain kita dapat mengekalkan pencapaian mereka dalam saingan Liga Perdana, justeru mampu memenangi perlawanan pertama Piala FA nanti,” kata Mohd Zaki penuh yakin.
Sementara itu, ketua jurulatih SDM Navy Pulau Pinang, Adam Abdullah pasrah dengan kekalahan skuadnya buat kali ketiga berturut-turut.
“Kita akui kehebatan Sarawak lebih-lebih lagi beraksi di gelanggang sendiri. Namun, saya berbangga dengan semangat tinggi yang dibuktikan oleh pemain-pemain kami,” katanya.
Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datu Sudarsono Osman juga menaruh keyakinan tinggi akan kemampuan skuad Sarawak untuk mengorak langkah lebih jauh musim ini.
“Pasukan kita telah melakukan yang terbaik setakat ini. Kita telah berjaya mencatat dua kemenangan dan seri sekali. Justeru, saya cukup pasukan kita mampu melangkah lebih jauh musim ini,” katanya lagi.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Nuffnang Body